Advertisement

Thursday 25 June 2020

Amalan Pembuka Rezeki Yang Boleh Diamalkan


Rezeki selalu dikaitkan dengan wang, makanan dan jarang sekali manusia mencari hakikat sebenar rezeki yang dianugerahkan oleh Allah. Jangan tersilap wahai teman kerana setiap perkara yang berada di sisi kita ialah pemberian daripada Allah.
Rezeki boleh terbahagi kepada dua iaitu rezeki yang bersifat umum dan juga rezeki yang bersifat khusus. Rezeki umum ialah rezeki yang dijanjikan untuk sesiapa yang berusaha dan rezeki yang umum ini diberikan oleh Allah yang Maha Penyayang kepada semua seperti manusia, haiwan tumbuhan dan sebagainya.
Manakala rezeki khusus ialah rezeki yang Allah tentukan kepada orang yang terpilih. Dalam rezeki khusus ini terkandung pemberian Allah seperti sifat qanaah, sifat tawadhuk, sifat taqwa, kesolehan, dan seumpamanya. Andainya dihadiahkan rezeki khusus seperti ini, alangkah bahagianya hidup.
“ ..Dan tiadalah suatu pun dari makhluk- makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya’’Surah Hud, ayat 6
Walaupun Allah yang sudah menjanjikan rezeki untuk hambaNya, janganlah kita hanya bersenang lenang dalam mengharapkan rezeki itu bergolek mendatangi kehidupan seharian kita. Allah mahu kita berusaha untuk meraih rezeki yang sememangnya tertulis untuk kita. Antara usaha ataupun amalan yang boleh kita lakukan untuk membuka pintu rezeki ialah :

#1- Bersedekah / infak

Abu hurairah r.a pernah menyebut bahawa Nabi SAW bersabda “ Tiada suatu hari pun yang dilalui oleh seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa Ya Allah, berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat yang satu lagi berdoa Ya Allah, berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan’’ – Sahih Bukhari dan Muslim
Andainya mendapat doa daripada malaikat, apa lagi perkara yang mahu dirisaukan. Jadi perbanyakkan sedekah untuk memperoleh doa daripada malaikat ini dan dengan sedekah ini, kita akan mendapat rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.

#2- Berdoa

“Berdoalah kepada Ku niscaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesunguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina ’’ Surah Al- Mu’min ayat 60
Janji Allah kepada hambaNya ialah untuk memperkenankan doa setiap hambaNya. Jadi setiap doa yang dipanjatkan kepada Allah itu merupakan satu cara untuk mengadu kepada Allah perkara yang kita hajati. Menerusi kaedah berdoa yang betul, InsyaAllah apa yang diharapkan akan dimakbulkan.

#3- Membaca Ayat Seribu Dinar

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) nescaya akan diberikan kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkan). Dan ingatlah sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa berlakunya tiap tiap sesuatuSurah At-Talaq ayat 2 dan 3
Ramai di antara kita yang menghafal ayat ini, teruskan hafalan dan bacaan kerana dengan istiqamah membacanya kita akan memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka. Kita juga akan mendapat jalan keluar dari segala masalah dan mendapat perlindungan dari segala musibah dan bala bencana.

#4- Solat Dhuha

“ setiap ruas dari anggota tubuh di antara kalian pada pagi hari, harus dikeluarkan sedekahnya. Setiap tasbih merupakan sedekah, setiap tahmid merupakan sedekah, setiap tahlil merupakan sedekah, setiap takbir merupakan kebaikan, setiap takbir merupakan sedekah, menyuruh kebaikan merupakan sedekah dan mencegah kemungkaran merupakan sedekah. Dan semua itu boleh disetarakan dengan mengerjakan solat dhuha dua rakaat ’’ Hadis Riwayat Muslim
Mari praktikkan solat dhuha dalam kehidupan kita. Solat dhuha ini mempunyai doa yang khusus yang di dalamnya kita memohon supaya pintu rezeki kita diluaskan. Semakin banyak kita berdoa dan beramal soleh maka permohonan kita lebih mudah dimakbulkan oleh Allah.
Kesimpulannya, banyak perkara yang boleh dibuat untuk menjemput rezeki. Mari kita sama sama berusaha supaya kita mendapat rezeki khusus yang dianugerahkan Allah keppada orang yang terpilih. Rezeki itu milik Allah, jadi jangan membelakangkan Allah dalam mencari rezeki.

Sponsored By