Advertisement

Thursday 6 April 2017

Tips Melepasi Titian Siratul Mustaqim

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.
Dalam sebuah hadith panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah  bersabda: “Dan diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada hari itu: ‘Ya Allah, Selamatkan, Selamatkan.’
Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan.”

Lalu Rasulullah  bertanya:  “Pernahkah kamu melihat duri pokok Sa’dan?”

Para sahabat menjawab, “Pernah, wahai Rasulullah.”

Baginda  menyambung: “Sesungguhnya pengait itu seperti duri poko Sa’dan, namun hanya Allah yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia.”

Suasana pada ketika itu pastinya mengerikan. Suara teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan, dan ketakutan terdengar dari pelbagai arah. Lebih mengerikan suara gemuruh api neraka dari bawah Siratul Mustaqim yang sedia menelan orang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah  dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia,

“Ya Allah, Selamatkan, Selamatkan.”

Setiap muslim wajib menjadikan kepercayaan kepada Siratul Mustaqim ini sebagai aqidahnya. Berkenaan dengan sifat titian ini, Rasulullah  pernah bersabda mafhumnya: “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, sukar sekali untuk kaki berdiri di atasnya.” (Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said Al-Khudri)
.
Dalam hadith Ahmad daripada Aisyah r.ha, Rasulullah  menggambarkan bahawa sifat titian itu adalah lebih nipis dan halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.
.
Siratul Mustaqim di akhirat ini wujud hasil daripada titian (jalan) hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Oleh sebab itu, siapa yang memilih jalan Allah سبحانه وتعالى, sambil bepegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat ini akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman.
.
Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan Allah سبحانه وتعالى ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram, maka hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.
.
Imam Abu Tahir al-Qazwini berkata: Setiap orang yang biasa berjalan di titian agama, maka ia akan sangat mudah melintasi sirat di akhirat. Dan sesiapa yang tidak biasa melaluinya, maka ia akan menemui kesukaran berjalan di atasnya, kakinya akan tergelincir dan ia akan menyesal selama-lamanya.
.
.
Tips Dan Pantang Larang Siratul Mustaqim
.
Rasulullah  pernah menyebut beberapa amalan yang dapat menjamin keselamatan seseorang melintas di atas titian sirat.
Antaranya adalah:
  • Mentaati perintah Allah سبحانه وتعالى
  • Melakukan solat fardhu 5 waktu
  • Melazimkan diri hadir ke masjid
  • Mengharmonikan masyarakat
  • Banyakkan bersedekah
.
Sebaliknya, beberapa amalan buruk dapat merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat. Amalan itu ialah melakukan dosa-dosa besar termasuklah memaki hamun dan membuat tuduhan dusta kepada seorang Mukmin
.
Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, Rasulullah   bersabda:
 “Sesiapa yang menjaga seorang Mukmin daripada gangguan munafik, maka Allah akan mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang Mukmin untuk memburukkan namanya, maka Allah akan menghentikan langkahnya di atas sirat hingga ia bersedia melepaskan tuduhan tersebut.”
.
 .
Petikan daripada Kitab Mahkamah di Padang Mahsyar m / s: 146
 .
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
 Kredit:shafiqolbu.wordpress.com

No comments:

Post a Comment

Sponsored By