Erkkkk nak pergi masjid lagi ke malam ni?
Pernah atau tidak bawa anak-anak berterawih di masjid? Kadang-kadang ekspresi wajah mereka jika diberitahu agak menakutkan juga. Kita rasa risau jika si dia menangis, berlari ke sana-sini atau paling teruk mengamuk. Takut mengganggu jemaah lain bukan?
Umur yang sebaiknya membawa si kecil ke masjid adalah ketika mereka sudah boleh memahami arahan kita dan berjalan sendiri. Bulan Ramadan adalah bulan yang istimewa dan paling sesuai untuk kita mula memperkenalkan solat secara berjemaah kerana biasanya terdapat kanak-kanak lain juga.
Tidak ada salahnya untuk bersolat sendirian di rumah tetapi solat jemaah ini memerlukan didikan awal, dan mungkin titik mulanya adalah pada Ramadan kali ini. InsyaAllah. Apa kata ikuti 11 tip ini bagi memudahkan kita mengenalkan ibadah terawih di masjid kepada anak-anak kita Ramadan ini.
#1 – Beritahu
Jika kita hendak ke masjid untuk solat terawih pada hari esok, mula beritahu si dia sejak hari ini. Beritahu bahawa kita tidak sabar-sabar hendak pergi kerana akan dapat banyak pahala.
Pahala ini pula kita akan kongsi dengan si dia yang akan ikut kita. Walaupun si dia mungkin masih kecil, masih tidak faham lagi tentang pahala, penceritaan yang kerap akan buat si dia fikir- “Oh esok saya nak pergi masjid. Ok!”
#2 – Sediakan
Bila kita siapkan barang seperti beg telekung atau baju Melayu, beritahu juga si dia kerana si dia mudah meniru. Pilih bersama-sama pakaian yang dia hendak pakai esok ke masjid.
Telekung comel atau songkok jangan dilupa. Isikan barang dalam satu beg beserta minuman dan makanan kering kegemaran si dia juga. Sekarang beritahu yang si dia sudah bersedia untuk ikut kita ke masjid esok. Yeay!
#3 – Aktiviti
Kanak-kanak memang mudah bosan apabila perlu menunggu lama di masjid nanti. Sediakan satu set buku mewarna baru atau set mainan kecil yang hanya diberitahu sewaktu kita hendak bergerak ke masjid nanti. Tidak perlu yang mahal sekadar untuk buat masa lapang si dia terisi sewaktu di sana. Si dia juga akan berasa tidak sabar kerana ada aktiviti kejutan begini. Syaratnya perlu solat dahulu.
#4 – Pesan
Sewaktu menyediakan barang ke masjid, beritahu si dia bahawa si dia perlu solat (jika sudah tahu caranya), senyap dan tidak ganggu orang lain sewaktu di masjid nanti. Jika perlukan sesuatu hanya perlu buka beg dan ambil. Begitu juga jangan ikut kawan-kawan baru atau orang yang tidak dikenali.
Jika rasa tidak selesa, tunggu di belakang ibu atau ayah sebab solat terawih sesingkat dua rakaat sahaja.
#5 – Saf Belakang
Sekarang sudah tiba hari yang dinanti-nanti. Pimpin si dia ke masjid dan cuba cari saf paling belakang atau paling tepi. Letakkan beg berisi makanan, minuman (susu penting juga) dan buku aktiviti si dia di situ. Beritahu si dia jika perlukan barang di dalam beg boleh terus ambil sahaja.
Pilihan di belakang, atau tepi saf ini memudahkan kita mendapatkan si dia dalam kes kecemasan dan tidak pula mengganggu jemaah yang lain.
#6 – Solat
Jika si dia sudah belajar bersolat, pujuk si dia untuk solat terawih. Cuba pilih saf yang dibarisi oleh ibu-ibu dengan anak kecil juga supaya si dia berasa ada kawan. Jika si dia mula berasa penat, benarkan si dia berehat. Si dia biasanya seronok untuk buat aktiviti yang sudah dirancang dan ini seperti hadiah untuknya.
Apabila si dia selesai solat walaupun hanya dua rakaat, jangan lupa peluk dia kuat-kuat, cium dahinya dan beritahu si dia memang hebat!
#7 – Sabar
Pernah dengar bukan kita hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang menentukan. Adakalanya situasi boleh bertukar jika si dia sudah berasa sangat bosan atau ingin ke tandas. Pada waktu ini, beritahu diri kita bahawa ini adalah ujian untuk kita mendidik anak kita ke masjid.
Sabar dengan setiap perilaku dan beri perhatian kepada si dia. Tenangkan si dia agar tidak mengganggu jemaah yang lain pula. Minta maaf kepada jemaah lain jika berkesempatan.
#8 – Gilir-gilir
Jika ada jiran atau saudara kita yang turut sama berjemaah dan mempunyai anak kecil, kita boleh bergilir-gilir untuk menjaga anak-anak ini pada waktu solat. Keadaan ini lebih baik supaya anak-anak ini tidak berterusan menangis atau pergi ke tempat lain. Kita yang bersolat pun merasa lebih tenang. Bila ada kawan, mereka akan rasa gembira. Boleh kongsikan makanan dan aktiviti yang dibawa tadi bersama-sama.
#9 – Hargai
Walau apa juga yang terjadi sewaktu di masjid, sentiasa hargai si dia yang sudi mengekori kita ke sana. Puji perkara kecil yang si dia tidak sangka seperti:
-Kita suka si dia bersolat dengan tekun tadi
-Walaupun letih si dia hanya merengek sahaja, bukan menjerit. Hebat betul!
-Sabar tunggu kita habis solat
-Kongsikan makanan dan permainan dengan kawan
-Si dia nampak comel betul dengan telekung itu!
-Walaupun letih si dia hanya merengek sahaja, bukan menjerit. Hebat betul!
-Sabar tunggu kita habis solat
-Kongsikan makanan dan permainan dengan kawan
-Si dia nampak comel betul dengan telekung itu!
Hargai perkara kecil-kecil agar si dia berasa besar hati.
#10 – Doa
Selalunya perjalanan membiasakan anak berterawih ini memakan masa yang sangat panjang. Jangan berputus-asa, sentiasa kongsikan kelebihan Ramadan dan amalkan doa-doa ini:
“Ya Tuhanku berilah aku keturunan yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa”(Surah Ali-Imran: Ayat 38)
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”(Surah Al-Furqan: Ayat 74)
“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikankan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doa kami”(Surah Ibrahim: Ayat 40)
#11 – Empati
Jika di masjid kita bertemu dengan kanak-kanak yang menangis keresahan, hulurkan rasa empati kita. Ibu bapa kanak-kanak ini telah mencuba sedaya-upaya cuma keadaan tidak menyebelahi. Berikan senyuman, bantu jagakan keselamatan, dan tegur dengan baik jika ada anak yang berlarian ke sana-sini.
Kanak-kanak lelaki biasanya suka dipuji seperti si dia nampak macho solat jemaah tadi, nampak macam sudah besar. Ambil hati kanak-kanak ini agar mereka gembira ke masjid dan bukan serik ke sana. Oh ya, simpan gula-gula atau coklat dalam poket dan beri kepada ibu atau bapa anak yang keresahan. Biar ibu bapa yang berikan pada mereka. Takut juga jika ada alergi bukan.
Sesungguhnya, terdapat beribu-ribu kelebihan solat terawih di masjid pada bulan Ramadan yang mulia ini. Kita dan anak belajar untuk mengikuti ketua (imam), teguh dengan apa yang kita percaya (rapatkan saf) serta hati mudah menjadi lembut mendengar alunan suara Imam.
Anak kita akan belajar bersosial dengan manusia secara live dan bukan di media sosial, memakai pakaian yang menutup aurat, mendengar alunan Al-Quran dan bukan lagu atau kartun Youtube di sana. Anak kita belajar erti sedekah melalui moreh di masjid dan berkongsi makanannya dengan kawan-kawan.
Pada hari di mana kita melihat anak kita khusyuk melaksanakan solat terawih di masjid satu hari nanti, adalah hari di mana kita tahu bahawa si dia telah mula merasai kemanisan solat terawih ini. Dan semoga kemanisan solat jemaah ini diteruskan di sepanjang kehidupan anak-anak kita.
Semakin Ramadan berlalu, saf di masjid menjadi semakin berkurangan. Adakah selepas kita tiada nanti, saf-saf ini akan terus kosong dan sepi?
Kredit: Tazkirah.net“Dunia tempat kita berpenat, akhirat tempat kita berehat”Ahmad Ammar
No comments:
Post a Comment