KENAPA ISLAM MENGHARAMKAN MELUKIS GAMBARA RASULULLAH SAW
Malah, sebuah akhbar tempatan, Sarawak Tribune yang turut menyiarkan karikatur itu juga telah digantung penerbitannya oleh kerajaan.
Di laman facebook pula, pernah ada pihak-pihak yang bertindak biadap menganjurkan hari melukis wajah nabi Muhammad SAW.
Berikutan isu yang berlaku ini, masyarakat kembali hangat memperkatakan soal hukum menggambarkan wajah atau tubuh Nabi Muhammad SAW. sama ada dalam bentuk lukisan ilustrasi, ukiran patung dan seumpamanya.
Di kalangan masyarakat bukan Islam pula, segelintir mereka mempertikaikan soal kerasionalan agama Islam tidak membenarkan lukisan wajah atau jasad Nabi Muhammad SAW.
Bagi mereka apakah rasionalnya agama Islam menegah umatnya atau orang lain untuk melukis sebarang ilustrasi yang dikaitkan secara langsung kepada Nabi SAW?
Adakah agama Islam terlalu bersikap konsorvetif sehingga menghadkan hak kebebasan untuk berfikir dan berkreatif oleh umatnya sendiri?
Adakah akidah Islam terlalu rigid sehingga melukis wajah atau jasad Nabi SAW. boleh dianggap sebagai sesuatu yang boleh menggelincirkan akidah daripada landasannya yang benar?
Mungkin inilah beberapa kemusykilan dan persoalan yang sering berlegar-legar di minda mereka yang mahukan penjelasan dan kebenaran di sebalik isu yang timbul ini.
Golongan bukan beragama Islam di Malaysia boleh jadi bersetuju sekiranya kita mengatakan bahawa karikatur yang menggambarkan wajah dan sifat Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang disiarkan oleh beberapa Negara Barat itu adalah sesuatu yang melanggar etika beragama dan memang sepatutnya diharamkan memandangkan ia menyentuh soal sensitiviti beragama yang merupakan suatu hak yang tidak boleh dipertikai, disentuh atau diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.
Sudah menjadi kelaziman setiap bangsa dan negara di dunia bersepakat untuk mengatakan soal agama adalah sesuatu yang suci dan tidak sekali-kali boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan.
Namun, persoalan yang masih wujud, apakah rasionalnya agama Islam tetap tidak membenarkan lakaran gambar Rasulullah SAW dalam apa jua cara dan kaedah?
Menjawab pertanyaan ini perkara penting yang harus difahami oleh setiap individu yang ingin melibatkan diri dalam polemik ini iaitu memahami bahawa Islam itu terbahagi kepada dua aspek utama yang saling berkait antara satu dengan lain dan adalah mustahil untuk memisahkan antara kedua-dua aspek ini.
Dua aspek yang dimaksudkan itu ialah akidah dan syariah.
- Akidah dalam Islam adalah sesuatu yang menjadi pegangan atau kepercayaan umat Islam. Secara kasar ia meliputi soal ketuhanan, kenabian dan Hari Akhirat.
- Manakala syariah pula merupakan suatu sistem perundangan atau cara hidup yang ditetapkan melalui sumber-sumber hukum tertentu yang antara lain bertujuan untuk menjaga kemurnian dan keutuhan akidah umat Islam itu sendiri.
Sebagai contoh Islam menetapkan dari sudut akidah bahawa wajib setiap umat Islam mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang rasul, manakala syariah pula menetapkan dan mengukuhkan lagi doktrin kepercayaan ini dengan menegaskan bahawa umat Islam yang memungkiri kepercayaan ini dengan sengaja tanpa sebarang takwilan dan keuzuran harus dijatuhi hukuman tertentu sebagai balasan di atas keengkarannya itu.
Dalam perspektif ini, syariah didatangkan oleh Islam dengan membawa pelbagai metod yang bersifat murunah atau fleksibel bertujuan membendung sebarang gejala yang boleh merendahkan, menghina mahupun merosakkan Islam, apatah lagi perkara yang menyangkut soal akidah dan kepercayaan atau disebut juga keimanan.
Oleh itu dalam banyak-banyak metod yang digunakan oleh syariah untuk membendung kerosakan adalah kaedah yang dipanggil sadd al-zari’ah yang bermaksud ‘menyekat jalan-jalan kerosakan’.
Kaedah ini adalah antara yang terbanyak digunakan sebagaimana yang terdapat di dalam nas-nas syarak yang bertujuan untuk menyekat terlebih dahulu sebarang jalan yang dikhuatiri boleh menjerumuskan umat Islam ke lembah kerosakan dan kemusnahan.
Sebagai contoh, Islam melarang perbuatan zina, larangan ini pula telah diterjemahkan oleh syariah dengan menyediakan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita malah menetapkan etika berpakaian tertentu yang bertujuan secara umumnya untuk menyekat semua jalan-jalan yang boleh membawa kepada zina.
Begitu juga sekiranya kita berbalik kepada soal hukum melukis atau membuat lakaran wajah dan jasad Nabi Muhammad SAW, larangan terhadap perbuatan ini mempunyai signifikan tertentu memandangkan ia menyentuh secara langsung terhadap akidah anutan umat Islam itu sendiri dan memberi ruang untuk melakukan perbuatan tersebut ditakuti boleh memudaratkan kepercayaan dan keimanan bahkan melunturkan kesucian akidah Islam.
Pada dasarnya sudah ada hukum yang jelas oleh syariah berkaitan dengan gambar yang dibuat untuk diagung-agungkan atau dikuduskan.
Sejarah wathanniyah (keberhalaan) membuktikan bahawa golongan awal telah menghasilkan gambar atau patung bertujuan untuk kenang-kenangan, tetapi kemudiannya sampai ke tahap menguduskan dan menjadikannya sebagai perantaraan untuk beribadah.
Ahli tafsir menjelaskan tentang firman Allah s.w.t. melalui lisan Nabi Nuh a.s., “Dan mereka berkata, “Janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa’, yaghuts, ya’uq dan nasr” (Nuh: 23).
Bahawa nama berhala yang disebutkan dalam ayat ini asalnya adalah nama-nama orang-orang soleh, tetapi ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaum mereka agar membuat patung-patung peringatan di majlis-majlis mereka dan menamakan mereka dengan namanya. Maka kaum itu pun melakukannya.
Asalnya ia tidak disembah, tetapi setelah generasi mereka hancur dan ilmu telah dilupakan, ketika itulah patung-patung tersebut disembah.
Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa syarak menegah daripada menggambarkan Nabi Muhammad SAW dalam bentuk lukisan dan sebagainya adalah untuk mengelakkan sebagaimana apa yang terjadi ke atas umat terdahulu sehingga sampai ke peringkat mengagungkan orang-orang suci mereka seumpama beribadah kepada tuhan.
Logika lain pula yang membawa kepada tegahan tersebut adalah dilihat kepada beberapa andaian yang boleh berlaku berdasarkan analisis para ulama Islam seperti berikut:-
- Mengimaginasikan wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w. sama ada dalam bentuk watak lakonan mahupun lukisan atau selainnya sekali-kali tidak akan dapat menyamai peribadi sebenar wajah atau jasad Nabi Muhammad s.a.w., oleh itu ia boleh membawa kepada impak pembohongan ke atas Rasulullah s.a.w. dalam bentuk perbuatan kerana pembohongan tidak semestinya dengan lidah semata-mata. Maka pembohongan ke atas rasul adalah sesuatu yang jelas pengharamannya dengan nas hadith sahih yang menyebut: “Barangsiapa yang membohongi aku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya di dalam neraka”.
- Keaiban dan kekurangan yang berlaku disebabkan oleh kelemahan manusia untuk memberikan gambaran sebenar terhadap wajah dan jasad Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang dilihat sendiri dengan mata yang sihat adalah merupakan sesuatu yang mencacatkan keperibadian Rasulullah s.a.w. seterusnya dianggap sebagai perbuatan yang menyakitkan Rasulullah s.a.w. Hukum menyakitkan Rasulullah s.a.w. sendiri adalah sangat ditegah dan diharamkan oleh syariat berpandukan firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknati mereka di dunia dan di akhirat serta bagi mereka disediakan azab yang menghinakan”. (Surah al-Ahzab: 57)
- Nabi Muhammad s.a.w. adalah merupakan model ikutan umat baginda, oleh itu mengimaginasikan baginda sehingga membawa kepada kecacatan dan keaiban boleh mencetuskan pandangan atau persepsi yang tidak adil atau menyeleweng terhadap keperibadian Rasulullah s.a.w. bagi umat yang mengikutinya. Sedangkan Allah s.w.t. berfirman dalam al-Qur’an: “Mereka (para nabi) itulah yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dengan petunjuk mereka (para nabi) itu, ikutilah ia”. (Surah al-Ahzab: 21)
- Gambaran atau lukisan yang tidak bertepatan malah mustahil untuk ia bertepatan dengan keperibadian sebenar Nabi Muhammad s.a.w. yang dipamerkan juga boleh mengundang kesangsian umat Islam terhadap keimanan mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. atau sekurang-kurangnya melahirkan rasa hilang hormat terhadap kekudusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai insan yang sempurna dari sudut akhlak dan kejadiannya. Implikasi yang lebih berat adalah ia boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah ikutan serta sumber rujukan umat Islam selepas al-Qur’an.
Selain hujah-hujah di atas, keimanan kepada Nabi Muhammad SAW juga merupakan salah satu cabang beriman kepada perkara yang ghaib.
Namun ia termasuk dalam kategori ghaib yang tidak mutlak memandangkan Nabi Muhammad SAW hanya ghaib bagi umatnya yang terkemudian dan tidak ghaib bagi para sahabat dan generasi yang sempat hidup dan melihatnya ketika hayat baginda.
Oleh itu adalah menjadi sesuatu yang perlu diwaspadai kerana betapa banyak kesesatan yang wujud pada hari ini adalah berpunca daripada keterlaluan di dalam membicarakan persoalan ghaib.
Perkara ghaib dalam masyarakat Melayu pula sering dianggap sebagai sesuatu yang misteri, mistik, keramat dan sebagainya yang dikhuatiri kesemuanya boleh menjurus kepada kepercayaan khurafat.
Membenarkan lukisan wajah atau jasad Nabi Muhammad SAW juga bermakna membuka jalan untuk golongan tertentu melukis serta mengimaginasikan seluruh perkara-perkara ghaib lain yang terdapat di dalam Islam seumpama melukis gambaran Allah, malaikat, syurga, neraka dan selainnya.
Dari sini maka akan timbul pelbagai perkara tahyul dan khurafat yang boleh merosakkan kesucian Islam sedangkan Islam sendiri merupakan agama yang sangat mementingkan fakta, realiti dan kebenaran.
Menurut kesimpulan takrifan khurafat yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di dalam buku Garis Panduan, Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual JAKIM, khurafat ialah sesuatu perkara mempesonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut yang menyimpang dari ajaran Islam sedangkan tahyul pula iaitu semua cerita sama ada khayalan atau rekaan yang meliputi cerita-cerita yang mempesonakan dan bercampuraduk dengan perkara-perkara yang dusta.
Bertolak dari penjelasan ini kita boleh membuat konklusi bahawa membenarkan imaginasi lukisan atau gambaran Rasulullah SAW secara langsung atau tidak langsung boleh menjurus kepada memasukkan unsur-unsur khurafat, tahyul dan khayalan ke dalam akidah Islam seterusnya ini sedikit demi sedikit akan menghakis sifat Islam sebagai agama yang bersih daripada dongengan, lebih-lebih lagi ia akan merosakkan sistem tathabbut iaitu memastikan setiap apa yang disandarkan kepada agama itu adalah betul-betul benar seperti yang disusun oleh para ulama seumpama dalam metodologi ilmu hadith dan ilmu usul fiqh.
Berasaskan dalil-dalil dan hujah-hujah yang dibentangkan di atas maka kita dapati bahawa para ulama Islam serta beberapa institusi Islam terkemuka telah mengumumkan fatwa pengharaman menghasilkan lukisan atau apa-apa gambaran berbentuk imej Rasulullah SAW.
Antaranya adalah fatwa Syeikh Hasnain Makhluf pada bulan Mei 1950 dalam kitab al-Fatawa al-Islamiyyah, jilid 4, mukasurat 1297, Lajnah Fatwa al-Azhar pada bulan Jun 1968, Majlis Majma’ Buhuth al-Islamiyyah pada bulan Februari 1972 dan Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami Makkah kali ke-8 pada tahun 1405 hijrah.
Pengharaman ini adalah bertitik tolak daripada pendirian para ulama Islam yang mahu menjaga kepentingan Islam serta penganut agama Islam itu sendiri dan ia telah dijelaskan berpandukan hujjah-hujjah naqli (al-Qur’an dan al-Sunnah) dan aqli atau rasional pemikiran manusia.
Namun sekiranya masih kedapatan mereka yang masih mempertikaikan keputusan tersebut, itu bukanlah timbul kerana kepincangan hujjah-hujjah di atas tetapi sekadar sifat manusia yang tidak pernah puas serta tidak tahu menghormati kepercayaan orang lain ditambah pula dengan ketegaran untuk tidak memahami keutamaan keharmonian beragama di Negara ini.