Advertisement

Thursday, 1 June 2017

7 Soal Jawab Yang Kerap Ditanya Apabila Menjelang Bulan Ramadan..Soalan no 6 masih ramai Muslim yang melakukannya

Setiap kali tibanya Ramadan, pasti soalan-soalan ini berputar dalam benak fikiran sebahagian daripada kita.

Memang lumrah bagi manusia perlu sentiasa diingatkan, sekalipun hal tersebut telah acapkali dibincangkan.

Justeru, tiada salahnya jika penulis mengulang kembali persoalan yang kerap ditanya ketika Ramadan, dengan cara yang ringkas, mudah-mudahan. Berikut dikongsikan bersama;

#1 – Soalan

Adakah wanita yang haid semasa bulan Ramadan perlu mengqada’ (menggantikan) solat seperti qada’ puasa?

Jawapan

Tidak perlu mengqada’ solat. Wanita yang haid ketika bulan Ramadan hanya perlu menggantikan puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sahaja.
“Seseorang pernah bertanya kepada Aisyah r.anha; ‘Adakah perlu seseorang mengqada’kan solat apabila suci?’ Aisyah r.anha menjawab; ‘Kami haid pada zaman Nabi s.a.w. Baginda tidak menyuruh kami melakukannya’.”Hadis Riwayat Bukhari

#2 – Soalan

Adakah sah puasa bagi seseorang yang lupa untuk berniat puasa keesokan harinya kerana terlambat bangun sahur?

#Jawapan

Niat adalah lintasan hati atau apa yang sudah diqasadkan oleh hati sebelum melaksanakan sesuatu perkara.
Dalam keadaan di atas, hukumnya masih sah kerana dia hanya terlambat bangun sahur dan pasti malam sebelum tidur itu dia sudah pun niat untuk bangun cuma terlambat.
Teruskan berpuasa dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

#3 – Soalan

Bolehkah kita berniat puasa untuk sebulan terus?

#Jawapan

Boleh, diharuskan. Dan, tidak menjadi kesalahan jika ingin berniat setiap hari.

#4 – Soalan

Jika seseorang terlupa hari itu adalah bulan Ramadan, bangun dari tidur terus bersarapan seperti biasa. Tiba di tempat kerja baru teringat. Bagaimana pula keadaan begini?

#Jawapan

Lupa adalah lumrah bagi setiap manusia dan ia termasuk hilang kewarasan sebentar.
Apabila seseorang itu sudah kembali ingatannya secara normal, maka wajib baginya untuk meneruskan puasa. Ini berbeza dengan orang yang hilang akal atau gila, yang memang gugur kewajibannya daripada berpuasa.

#5 – Soalan

Jika seorang wanita didatangi haid 5 minit sebelum berbuka puasa, adakah puasa pada siang harinya sebelum itu sah?

#Jawapan

Tidak sah dan puasanya terbatal. Dia wajib menggantikan puasanya. Ini kerana waktu tersebut masih dalam tempoh berpuasa.
Melainkan, jika haid datang selepas waktu berbuka puasa.

#6 – Soalan

Bolehkah seseorang itu berbuka puasa dengan hanya merokok?

#Jawapan

Merokok adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan, sama seperti memasukkan makanan atau minuman.
Cuma, sebaiknya perlu dielakkan demi menghormati bulan yang mulia ini. Merokok bukan hanya memudaratkan kesihatan bahkan, fatwa pernah mengharamkan benda ini.

#7 – Soalan

Memasukkan sesuatu ke rongga badan akan membatalkan puasa. Bagaimana pula jika seseorang itu menggunakan inhaler (alat bantuan pernafasan), terutama bagi pesakit asma?

#Jawapan

Menurut pandangan para ulama kontemporari kini, penggunaan inhaler bagi orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya.
Ini kerana kajian perubatan menunjukkan bahawa 80% gas inhaler akan masuk ke dalam rongga badannya melalui saluran pernafasannya.
Adapun, bagi mereka yang menggunakan alat ini bagi tempoh tertentu hendaklah menggantikan puasanya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Manakala bagi mereka yang memerlukan alatan ini sepanjang hidupnya dan tiada harapan sembuh, maka hendaklah digantikan puasa tersebut dengan cara fidyah.
Moga perkongsian secara ringkas ini dapat menjawab beberapa persoalan yang bermain di benak kita tatkala menjelangnya Ramadan.
Jika terdapat persoalan lain, bolehlah dirujuk kepada para asatizah lain yang lebih faqih dalam membahaskan mengenainya. Moga penulisan ini memberi manfaat walau sedikit. Wallahua’lam.
kredit:tazkirah.net

Wednesday, 31 May 2017

10 Fakta Tentang Zakat Yang Perlu Diambil Berat


Zakat merupakan hak Allah yang perlu kita lunaskan terhadap mereka yang berhak menerimanya. Seorang mukmin yang beriman kepada Allah pasti akan memenuhi kehendak Allah ini bagi menjaga hubungannya dengan Allah serta hubungannya dengan manusia.
Alhamdulillah, kini ramai yang mula memberi perhatian terhadap pengeluaran zakat. Setiap tahun ada peningkatan dalam jumlah kutipan. Seiring itu jualah semakin bertambahnya golongan penerima yang berdaftar dengan pusat zakat.
Justeru ada 10 fakta yang perlu kita ambil tahu tentang zakat bagi mencerahkan lagi pemahaman kita terhadap perintah Allah yang termaktub dalam Rukun Islam ini;

#1 – Zakat Hanya Boleh Diberikan Kepada 8 Kumpulan Asnaf

Zakat hanya layak diberikan kepada 8 kumpulan asnaf yang telah disebutkan oleh Allah iaitu orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.

#2 – Tanggungjawab Dilunaskan Jika Syarat Penerima Sudah Dipenuhi

Ada sesetengah individu yang lebih gemar mengagihkan zakat mereka sendiri. Masih dibenarkan tetapi dengan syarat mestilah kepada 8 golongan yang telah disebutkan seperti di atas.
Jika tidak, tanggungjawab tersebut masih belum terlepas. Kerana itu kita sangat digalakkan untuk mengeluarkan zakat kepada pusat zakat. Tanggungjawab kita sudah dilunaskan dan menjadi tanggungjawab pusat zakat pula untuk mengagihkan zakat dengan seadilnya dan sewajarnya.

#3 – Pemberian Zakat Sebaiknya Perlu Adil Dan Istiqamah

Mengeluarkan zakat adalah satu kebaikan yang sangat disukai Allah. Bahkan, lebih cantik jika insan-insan ini dibantu dengan adil dan berterusan. Adalah sesuatu yang molek jika wang zakat kita boleh diagihkan kepada ramai asnaf secara adil dan istiqamah kerana makna zakat itu juga adalah menyuburkan dan berkembang.
Bahkan, kita juga boleh bekerjasama dengan pusat zakat dengan cara memberikan maklumat tentang individu yang memerlukan bantuan supaya mereka boleh menerima bantuan secara tetap dan berterusan. (Bagi Asnaf di negeri Selangor, anda boleh melaporkan secara online di http://www.zakatselangor.com.my/lapor-asnaf/)

#4 – Ketidakpercayaan Terhadap Pengurusan Pusat Zakat Menyebabkan Tidak Mahu Mengeluarkan Zakat

Tidak dinafikan, harta itu memang menjadi dugaan bagi kita. Macam-macam rintangan dan dugaan yang hadir tatkala kita ingin mengeluarkan zakat. Antaranya ialah ketidakpercayaan terhadap pusat zakat. Tidak adil rasanya jika kita menilai yang negatif dan buruk-buruk saja kepada Pusat Zakat.
Bahkan terlalu mudah pula menviralkan isu-isu yang belum pasti kesahihannya. Sedarkah kita tindakan ini boleh mengundang fitnah sekaligus menyebabkan orang lain turut serta tidak mahu mengeluarkan zakat dek kerana hasutan kita. Ringankanlah mata dengan membaca Laporan Zakat Tahunan yang boleh kita dapati di laman sesawang Pusat Zakat Negeri.

#5 – Perbezaan Ideologi Dengan Pihak Kerajaan

Percaya atau tidak, ada yang menyatakan dia tidak mahu mengeluarkan zakat kerana takut disalahgunakan oleh pihak kerajaan.

Sangkaan itu salah sama sekali. Menurut Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz:
“Pentadbiran agama Islam berada di bawah kuasa Tuanku Sultan, mengikut negeri masing-masing. Apabila kita mengeluarkan zakat, maka ia akan dikumpulkan di bawah satu badan sama ada Baitul Mal atau Badan Zakat yang mempunyai mekanisme pengagihan sendiri. Jawatankuasa Syariah atau Majlis Fatwa negeri adalah badan yang bertanggungjawab memastikan penyaluran wang zakat benar-benar menepati syariah.”

#6 – Sangat Terdesak Dan Terpaksa Meminta Bantuan Daripada Tempat Yang Tidak Sepatutnya

Mohon Allah jauhkan kita daripada melakukan perkara yang tidak diredhai oleh-Nya. Atas iniasatif pusat zakat contohnya di Selangor, telah diwujudkan 19 Kaunter Ekspres Agihan Zakat untuk meringankan beban pemohon yang memerlukan bantuan kewangan bagi keperluan asasi hidup dengan kadar segera semasa ditimpa kecemasan atau kesusahan. Masa kelulusan permohonan agihan zakat adalah antara 45 minit hingga 2 jam.

#7 – Terdapat 7 Jenis Zakat Harta

Ada 7 jenis Zakat yang terletak di bawah zakat harta iaitu zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat emas dan perak, zakat saham, zakat KSWP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan zakat takaful. Zakat KWSP merupakan antara zakat yang kurang diberi perhatian kerana pencarumnya tidak sedar bahawa mereka wajib mengeluarkan zakat apabila cukup syaratnya.

#8 – Simpanan KWSP Wajib Zakat Apabila Sempurna Milik

Simpanan KWSP wajib dizakatkan hanya apabila ia sudah berada dalam tangan pencarumnya/sudah boleh dimiliki tanpa halangan atau sempurna milik. Selagi mana wang itu masih berada dalam simpanan KWSP, maka tidak wajib dizakatkan kerana kurangnya satu syarat, iaitu tiada sempurna milik ke atas wang berkenaan.

#9 – 3 Jenis Pengeluaran KSWP Yang Wajib Dikenakan Zakat

1. Zakat KWSP diwajibkan bagi pengeluaran untuk keperluan tertentu seperti untuk pendidikan dan perumahan. Namun dikecualikan bagi pengeluaran yang bersifat keperluan yang amat mendesak seperti mendapatkan rawatan yang menelan kos yang sangat tinggi.
2. Wang KWSP sudah boleh dikeluarkan ketika usia 50 tahun bagi Akaun Kedua KWSP. Dalam situasi ini, zakat wajib dikenakan ke atas Akaun Keduanya kerana penyimpan mempunyai pilihan sama ada mahu mengeluarkan sebahagian atau semua simpanan di dalam akaun keduanya.
3. Ketika usia wajib bersara. Pada ketika ini, seseorang penyimpan itu boleh sama ada mengeluarkan sebahagian atau semua wang KWSPnya. Pada waktu itu sudah cukup sempurnalah segala syarat wajib zakatnya (datangnya sifat sempurna milik), sehingga wajiblah bagi penyimpan mengeluarkan zakat ke atas wang KWSP itu.

#10 – Mitos Pusat Zakat Tidak Mengagihkan Kutipan Dengan Wajar

Jika kita cakna tentang zakat, pasti kita sedar bahawa agihan zakat mengikut negeri lebih tinggi berbanding kutipan. Data agihan dan kutipan ini boleh diperolehi daripada laman sesawang Pusat Zakat Negeri.
Contohnya pada tahun 2015, Pusat Zakat Selangor telah mengagihkan sebanyak RM676 juta wang kutipan zakat kepada 44,293 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dan disantuni sepanjang tahun di samping permohonan baru.
Jumlah agihan ini sebenarnya melebihi kutipan. Kerana itu kita sangat digalakkan mengeluarkan zakat kepada pusat zakat kerana sentiasa ada pertambahan jumlah permohonan baru bagi penerimaan bantuan zakat.
Semoga 10 fakta ini boleh membuka hati kita sebagai hamba-Nya untuk melaksanakan tanggungjawab yang sudah menjadi tuntutan terhadap kita. Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 277:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
Rujukan
1. http://blog.zakatselangor.com.my/tajuk-dilema-zakat-antara-agih-sendiri-atapun-melalui-institusi/
2. Laporan Tahunan Lembaga Zakat Selangor 2015

Tuesday, 30 May 2017

Apa ada sebenarnya pd waktu sahur?


Bagi kita waktu sahur ni kita beri perhatian hanya semasa Ramadhan atau pd hari yg kita nak berpuasa... tu pun duk kalut dgn makan je... sdgkan waktu sahur berlaku setiap malam utk sepanjng tahun!

Cuba perhatikan apa yg Allah bagitau ni:

الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ

"(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya) dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah) dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur."
(Āli 'Imrān : 17)

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

"Dan pada waktu sahur (akhir malam sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)."
(al-Źāriyāt : 18)

Imam al-Qurťubi menyatakan, maksud beristighfar di sini ialah "bersolat dan beristighfar".

Beliau juga menukilkn satu hadith berkenaan hal ini:

( إِنَّ اللَّه يَقُول إِنِّي لَأَهُمّ بِعَذَابِ أَهْل الْأَرْض فَإِذَا نَظَرْت إِلَى عُمَّار بُيُوتِي وَإِلَى الْمُتَحَابِّينَ فِيَّ وَإِلَى الْمُتَهَجِّدِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ صَرَفْت عَنْهُمْ الْعَذَاب بِهِمْ )
Sesungguhnya Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku ingin menurunkan azab ke atas penduduk bumi, apabila Aku  memandang kpd orang yg memakmurkn masjid, dan kpd orang yg berkasih sayang kerana Ku, dan kpd mrk yg bertahajud dan beristighfar di waktu sahur; Aku hindarkan mrk drpd azab."

Anas bin Malik r.a berkata, "Kami diperintahkan bhw kami perlu beristighfar pada waktu sahur sebanyak 70 istighfar."

Makhul menyatakan, "Apabila dlm kalangan umat 15 org yg beristighfar kpd Allah setiap hari 25 kali, maka Allah tdk akn mengazabkan umat itu dgn azab yg umum."

Bagaimana selama ini waktu sahur kita?kredit:Fb Mohd Gunawan

Monday, 29 May 2017

5 Keistimewaan Bulan Ramadan Yang Tiada Pada Bulan Yang Lain

“Muharram, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah”
Itulah nama-nama bulan dalam kalendar Hijrah. Setiap tahun, kita akan bertemu dengannya secara silih berganti.
Begitulah aturan alam. Biiznillah. Pada 1 Muharram, ia menandakan masuknya tahun baru. Adapun, bulan-bulan lain juga terdapat peristiwa bersejarah dan keistimewaan tertentu yang terpahat sejak berzaman.
Kini, kita tiba pula dalam bulan Ramadan. Apakah keistimewaan bulan ini? Berikut dikongsikan;


#1 – Solat Terawih

Hanya di dalam bulan Ramadan sahaja terdapat ibadah solat ini. Ia adalah salah satu solat sunat yang dilakukan selepas solat Isyak dalam bulan Ramadan.
‘Terawikh’ itu bermaksud beristirehat. Solat ini biasanya dilakukan sebanyak 8 – 20 rakaat dan diakhiri dengan solat sunat witir. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Sesiapa yang mendirikan solat pada malam hari di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” Hadis Riwayat Bukhari

#2 – Malam Lailatul Qadar

Malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu Lailatur Qadar ini adalah salah satu rahsia Allah s.w.t. Ia hanya terdapat dalam 10 malam terakhir bulan Ramadan sepertimana hadis Rasulullah s.a.w yang bersabda;
“Carilah malam Lailatul Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.”Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, At-Tirmizi dan Ibnu Majah

#3 – Bulan Turunnya Al Quran

Pada 17 Ramadan, merupakan hari diturunkan Al Quran mengikut sejarah Islam terdahulu.
Oleh itu, darjat Al Quran diangkat begitu tinggi pada bulan Ramadan ini. Kebiasaannya, bulan Ramadan juga akan diadakan Majlis Tadarus Al Quran di surau atau masjid.
Bagi mereka yang tidak tahu membaca Al Quran, atau baru hendak mempelajarinya usah bimbang atau malu.
Mungkin, anda boleh mulakan pada bulan Ramadan ini untuk belajar dengan mereka yang lebih fasih dan faqih tentangnya.

#4 – Pintu Langit Dibuka

Perkara ini bersandarkan pada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Apabila telah datang bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka, sedangkan pintu-pintu neraka akan ditutup dan syaitan dibelenggu (diikat).”Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

#5 – Puasa Ramadan Membentuk Keperibadian Diri

Bulan Ramadan adalah bulan puasa penuh selama 30 hari. Pada siang hari kita diperintahkan untuk meninggalkan makanan, minuman atau perkara-perkara yang boleh membatalkannya.
Begitu juga apabila ada yang menguji tahap kesabaran kita. Rasulullah s.a.w bersabda;
“Apabila seseorang menghina atau mencacinya, hendaknya ia berkata, ‘Sesungguhnya aku sedang puasa’.”Hadis Riwayat Bukhari
Hal ini secara tidak langsung, mendidik diri kita untuk menjadi individu Muslim yang lebih baik, bersifat penyabar dan berhati-hati apabila bertindak.
Dan, sebenarnya masih banyak lagi kelebihan yang terdapat di dalam bulan mulia ini. Apapun, semoga Ramadan kali ini dapat dimanfaatkan secara bersama untuk kita meraih segala keistimewaan ini.
Jika kita tidak mampu melaksanakan semua, usahlah ditinggal semua. Insya Allah. Mudah-mudahan. Wallahua’lam.kredit:https://tazkirah.net/5-keistimewaan-bulan-ramadan-yang-tiada-pada-bulan-yang-lain/

Sponsored By