Advertisement

Thursday, 18 May 2017

Checklist Persediaan Menyambut Ramadhan

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan
Tidak lama lagi kita bakal menyambut Ramadhan al Mubarak. Bersediakah kita? Bulan yang besar dan penuh keberkatan serta banyak kelebihannya haruslah disambut dengan penuh perasaan ta’zim (membesarkan) dan mengalu-alukannya.

 Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib/fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain.

 Allahumma Ballighna Ramadhan – merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang soleh bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan. Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini. Janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita.

Mari kita rebut peluang ini! Firstly, sebagai muslim yang benar-benar prihatin dengan kehadiran Ramadhan, kita hendaklah menjaga kesihatan kita sebaik mungkin, supaya kita tidak terlepas peluang untuk melakukan ibadat. Bukankah ini bulan untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin? Oleh itu, jagalah kesihatan supaya kita tidak miss melakukan ibadah seperti solat tarawikh. Menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia.

Mengambil tahu amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Di samping itu hendaklah juga mengetahui fatwa-fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa. Menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya bulan ini dengan amal ibadah. Kehadiran ke masjid bukan kerana malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan dari Allah Taala :) Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu). Supaya kita tidak liat lagi bangun malam di bulan Ramadhan Menjaga lidah dari perkara keji seperti mengumpat dan mencaci. Yang mana suka banyak cakap tu, eloklah mula diam dari bercakap perkara yang sia-sia. Ingat, semakin banyak percakapan kita, semakin banyak silap yang kita lakukan. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan menyambut Ramadhan Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan diatas Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan mengharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula disi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Saudara yang mulia, bagaimanakah kita?kredit:akuislam.com

Monday, 15 May 2017

Teladani 6 Sikap Orang Beriman, Sebelum Dan Ketika Menjelang Ramadan

 Membaca kisah para salafussoleh dan alim ulama tidak pernah menjemukan. Ia seakan magnet yang mengalirkan caj positif ke dalam minda dan tubuh kita untuk terus menghayati gaya hidup dan perlakuan yang dilakukan oleh mereka sepanjang kehidupan agar dapat dicontohi bersama.

Lebih-lebih lagi, apabila datangnya Ramadan. Bagaimanakah sikap mereka apabila menjelangnya Ramadhan? Adakah sikap mereka ini juga ada dalam diri kita? Mari koreksi bersama.

#1 – Bersyukur Dengan Kedatangan Bulan Ramadan 
Umat Islam yang menyakini akan adanya hari pembalasan, hari akhirat atau hari perhitungan pasti akan berasa gembira dan bersyukur akan kedatangan bulan Ramadan. Ini kerana, bulan suci ini adalah peluang keemasan bagi menggandakan amal kebajikan untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.

Tahukah kita, para salafussoleh terdahulu mempersiapkan diri mereka untuk menyambut bulan mulia ini sejak bulan Sya’aban lagi. Salah seorangnya adalah Amru bin Qais, ahli ibadah yang wafat tahun 41 Hijriah ini. Apabila bulan Sya’aban tiba, beliau menutup kedainya dan tidak menjalankan aktiviti lain selain membaca Al-Quran.

#2 – Menginfakkan Diri Dan Harta 
 Salah satu amal kebajikan yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan ini adalah bersedekah atau menginfakkan harta. Dan, ini adalah antara amalan salafussoleh terdahulu yang mencontohi perilaku Baginda SAW;

 “Dahulu, Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah dalam memberikan kebaikan, dan sifat pemurah Baginda yang paling besar adalah ketika Ramadan.” (Muttafaqun alaih)

Selain harta, sikap para salafussoleh terdahulu juga adalah menginfakkan diri mereka hanya semata-mata kerana Allah.

Taqiuddin As-Subki (756 H) salah seorang ulama ahli Hadis, Tafsir, Usul Fiqh, Nahu Saraf, juga Sastera dari Mazhab Syafie di Mesir memiliki kebiasaan tatkala datangnya bulan Rejab. Beliau tidak pernah keluar dari rumah kecuali untuk melaksanakan solat fardhu, dan hal itu terus berjalan hingga Ramadan tiba. (Thabaqat As Syafi’iyah Al-Kubra).

#3 – Beriktikaf 
 Duduk berdiam diri di masjid atau surau, bertaqarrub kepada Allah SWT adalah salah satu perkara yang biasa dilakukan oleh mereka yang beriman dengan segala perintah-Nya serta yang benar-benar mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam hidupnya. Ramadan adalah bulan yang paling sesuai untuk kita mulai membiasakan diri beriktikaf di rumah-Nya.

 Khatib As-Syarbini (977 H), ulama Mesir yang juga penulis kitab Mughni Al-Muhtaj, juga memiliki cara tersendiri agar dirinya dapat konsisten melaksanakan ibadah apabila Ramadan tiba. Apabila terlihat tanda-tanda Ramadan akan tiba, beliau akan bergegas menuju ke Masjid Al-Azhar untuk beriktikaf di sana.

 #4 – Meningkatkan Kesungguhan Dalam Beribadah Dan Berusaha Agar Ibadah Diterima 
 Orang mukmin kebiasaannya tidak akan berasa puas dengan segala apa yang telah dilaksanakannya, lebih-lebih dalam soal beribadah kepada Allah SWT dalam apa jua bentuk.

 Ini kerana, sikap orang beriman seperti salafussoleh terdahulu sentiasa berasakan diri mereka masih belum beramal sekalipun sudah banyak beramal. Sentiasa berasakan kekurangan diri dan menangisi khilaf yang dilakukan sekalipun hanya perkara kecil.

Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri apabila datangnya bulan Ramadhan, beliau akan mengasingkan diri daripada manusia dan menyibukkan diri untuk membaca Al-Quran.

#5 – Beristighfar Dan Bertaubat 
Istighfar adalah salah satu cara untuk membersihkan hati. Dengan beristighfar, maka gugurlah sedikit demi sedikit titik hitam yang menghijab hati. Maksud ‘istighfar’ itu sendiri adalah memohon keampunan daripada segala kesilapan yang telah dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Maka, ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah An-Nasr: 3)

Banyak kelebihan beristighfar ini, antaranya dia akan menjadi hamba kecintaan Allah sepertimana firman-Nya yang bermaksud;

“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah: 222)

 #6 – Merenungi Tentang Kehidupan Dunia Yang Fana 
Bertafakur sejenak akan kehidupan ini adalah salah satu cara untuk kita bermuhasabah tentang segala apa yang telah kita lakukan dalam kehidupan dunia ini. Bertaqarrub dan bertakafur sering dinyatakan secara seiringan.

 Ini kerana dengan bertafakur, secara tidak langsung akan mendekatkan kita dengan yang Maha Esa. Ini kerana bertafakur juga bermaksud, memikirkan, merenungi serta menghayati tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Ibnul Qayyim berkata,

 “Berfikir akan membuahkan pengetahuan, pengetahuan akan melahirkan perubahan keadaan yang terjadi pada hati, perubahan keadaan hati akan melahirkan kehendak, kehendak akan melahirkan amal perbuatan. Oleh itu, berfikir adalah asas dan kunci pada semua kebaikan.”

Dan, sebenarnya masih banyak lagi contoh yang boleh diteladani daripada para salafussoleh ini dalam mengemudi rutin hidup mereka. Ternyata, apa yang dilakukan mereka ini benar-benar terinspirasi daripada penghayatan iman dan kedekatan hubungan mereka kepada Allah SWT.

Semoga kita umat terkemudian ini juga dapat mencontohi sedikit daripada apa yang mereka lakukan ini mengikut kemampuan masing-masing. Jika tidak mampu buat semua, usah ditinggal semua. Mudah-mudahan, perkongsian ini memberi manfaat kepada para pembaca. Insya-Allah. Kredit: Marina M. Arus

Sponsored By