Advertisement

Monday, 26 June 2017

Pengertian Dan Sejarah Awal Hari Raya Aidilfitri

Aidilfitri adalah hari raya bagi umat Islam. Hari raya ini juga digelar dengan panggilan hari raya puasa atau hari lebaran. Pada hari ini, umat Islam telah sinonim dengan menyucikan jiwa, membersihkan dosa dengan saling bermaafan dan bersilaturahim.

Maksud Aidilfitri

Secara bahasa (harfiyah), ‘Aidilfitri’ bermaksud ‘kembali kepada fitrah; iaitu, kembali kepada asal kejadian manusia yang suci, bersih dari dosa, seperti keadaan bayi baru lahir.
Kata ‘fitrah’ dari kata futhur beerti ‘kembali makan pagi (sarapan)’. Jadi, pada hari Aidilfitri bermakna kembali sarapan, tidak seperti bulan Ramadan yang tiada sarapan dan wajib berpuasa. Maksud ini dikaitakan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda;
“Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sejarah Hari Raya Aidilfitri

Sebelum ajaran Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di kota Mekah, masyarakat Arab Jahiliyah Arab telah memiliki dua hari raya, iaitu perayaan Nairuz dan Mahrajan.
kedua-dua perayaan ini merupakan tradisi yang berasal dari zaman Persia Kuno.
Kaum Arab Jahiliyah menyambut perayaan itu dengan tarian, seperti tarian perang dan ketangkasan selain menyanyi dan memakan makanan enak dan minuman memabukkan. Ketika itu juga setiap kaum mempunyai hari raya masing-masing.
Setelah itu, turunnya kewajiban untuk menunaikan ibadah puasa Ramadan pada tahun 2 Hijrah. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah mengganti kedua hari raya itu dengan hari raya yang lebih baik, yakni Aidilfitri dan Aidiladha.”(Hadis Riwayat Daud dan Nasai)
Hari Raya Aidilfitri pertama kalinya dirayakan umat Islam selepas Perang Badar pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah (Ensiklopedia Islam). Dalam pertempuran itu, umat Islam meraih kemenangan walau 319 orang tentera Muslimin menentang 1,000 pasukan kafir Quraisy.
Jadi pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat merayakan dua kemenangan, iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan kejayaan menakluk hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.
Dari sinilah lahirnya ungkapan ‘Minal ‘Aidin wal Faizin’ yang lengkapnya ungkapan doa kaum Muslim saat itu:
‘Allahummaj ‘alna minal ‘aidin walfaizin’ : ‘Ya Allah, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang kembali (dari Perang Badar) dan mendapatkan kemenangan’
Diriwayatkan, Rasulullah SAW dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitri yang pertama dalam keadaan luka-luka yang masih belum pulih dan letih akibat Perang Badar. Dari Jubair bin Nufair, dia berkata, bahawa jika para sahabat Rasulullah SAW pada hari raya Aidilfitri (dan Aidiladha) dan berjumpa satu sama lain, mereka saling mengucapkan:
“Taqobbalallahu minna wa minka (Semoga Allah menerima amal kami dan amal kalian).”
Menurut Ibnu Katsir, pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, Rasulullah SAW pergi meninggalkan masjid menuju ke suatu kawasan lapang dan menunaikan solat Aidilfitri di situ. Sejak itulah, Baginda dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitri di lapangan terbuka.
Jadi, Hari Raya Aidilfitri adalah anugerah yang Allah turunkan sebagai hadiah untuk umat Islam, bukan sahaja sebagai kemenangan dalam bentuk fizikal tetapi kejayaan kerana berjaya menakluk nafsu dalam bulan Ramadan.
Seharusnya, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan membanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT bersempena dengan kemuliaan hari kemenangan itu. Diterangkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, maksudnya;
“Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.”
Ini bermakna, seseorang muslim itu sangatlah digalakkan dan dituntut agar menghidupkan hari raya dengan segala amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT bagi menjamin hati agar tidak mati dan menjadi hamba yang penuh taqwa.
Sumber: Ensiklopedia Islam

No comments:

Post a Comment

Sponsored By