“Sesungguhnya, Allah s.w.t turun pada malam
pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa
orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.”
Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah
Mungkin, ada yang masih belum mengetahui apa yang ada dalam bulan Syaaban? Mengapa bulan itu termasuk dalam kategori bulan yang dimuliakan oleh Allah S.W.T dan pelbagai persoalan lagi.
Berikut dikongsikan beberapa hadis dan kalam ulama yang menyebut mengenai bulan istimewa ini;
#1 – Rasulullah S.A.W Berpuasa Lebih Banyak Pada Bulan Ini
Saidatina Aisyah r.a menyatakan;“Tidak pernah Rasulullah s.a.w berpuasa lebih banyak melainkan dalam bulan Syaaban (selain bulan Ramadhan). Sesungguhnya, Baginda s.a.w telah berpuasa sebulan penuh.”Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
#2 – Bulan Yang Diangkat Segala Amalan
Usman bin Zaid menceritakan Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w;“Wahai Rasulullah, aku tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa Tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban.”Lalu Baginda menjawab;
“Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu, aku (Baginda) amat suka kiranya amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa’.”Hadis Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai
#3 – Diampunkan Dosa-Dosa
Saidatina Aisyah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda;“Sesungguhnya, Allah s.w.t turun pada malam pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb.”Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah
#4 – Allah S.W.T Membuka Pintu Rahmat-Nya
Khalifah Umar Abdul Aziz telah memberitahu wakilnya di Basrah;“Hendaklah kamu memerhatikan empat malam dalam satu tahun, kerana sesungguhnya Allah s.w.t membukakan pintu rahmat-Nya dengan seluas-luasnya iaitu pada malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Eidulfitri dan malam Eiduladha.”
#5 – Bulan Menambahkan Amalan
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;“Apabila tiba malam nisfu Syaaban, maka pada malam tersebut berjagalah kamu dengan mendirikan solat, beribadat dan berpuasa pada siangnya. Allah s.w.t berfirman; ‘Sesiapa yang meminta ampun, maka Aku mengampunkannya, mereka yang ditimpa bala bencana Aku lepaskannya, mereka yang meminta rezeki Aku berikan rezekinya’.”
#6 – Adanya Malam Nisfu Syaaban
Perkataan ‘nisfu’ itu adalah dalam bahasa Arab yang bermaksud, ‘pertengahan’. Tahukah kita, di pertengahan bulan Syaaban atau lebih sinonim dipanggil sebagai ‘nisfu Syaaban’, sebelum memasuki bulan Ramadhan segala amalan setiap hamba Allah s.w.t akan diangkat ke langit dunia.Baginda Nabi s.a.w turut menyarankan kepada kita umatnya untuk memperbanyakkan amal kebajikan pada malam tersebut.
Bahkan, sesetengah ahli tafsir ada yang menyatakan bahawa malam nisfu Syaaban itu adalah Malam Bara’ah atau malam keberkatan.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca untuk melonjakkan lagi momentum ibadah kita semua untuk ‘dipersembahkan’ kepada Allah s.w.t.
Juga, sebagai persediaan untuk melalui bulan Ramadhan; bulan yang terkandung di dalamnya pelbagai keistimewaan dan ganjaran buat hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah.
Kredit:Marina M. Arus