بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
.
Dalam sebuah hadith panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah ﷺ bersabda: “Dan
diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku
menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada
hari itu: ‘Ya Allah, Selamatkan, Selamatkan.’
Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan.”
Lalu Rasulullah ﷺ bertanya: “Pernahkah kamu melihat duri pokok Sa’dan?”
Para sahabat menjawab, “Pernah, wahai Rasulullah.”
Baginda ﷺ menyambung: “Sesungguhnya
pengait itu seperti duri poko Sa’dan, namun hanya Allah yang tahu
besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai
dengan amal perbuatannya di dunia.”
Suasana pada ketika itu
pastinya mengerikan. Suara teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan,
dan ketakutan terdengar dari pelbagai arah. Lebih mengerikan suara
gemuruh api neraka dari bawah Siratul Mustaqim yang sedia menelan orang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah ﷺ dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia,
“Ya Allah, Selamatkan, Selamatkan.”
Setiap muslim wajib menjadikan kepercayaan kepada Siratul Mustaqim ini sebagai aqidahnya. Berkenaan dengan sifat titian ini, Rasulullah ﷺ pernah bersabda mafhumnya: “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, sukar sekali untuk kaki berdiri di atasnya.” (Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said Al-Khudri)
.
Dalam hadith Ahmad daripada Aisyah r.ha, Rasulullah ﷺ menggambarkan bahawa sifat titian itu adalah lebih nipis dan halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.
.
Siratul Mustaqim di akhirat ini
wujud hasil daripada titian (jalan) hidup yang kita pilih selama tinggal
di dunia. Oleh sebab itu, siapa yang memilih jalan Allah سبحانه وتعالى, sambil bepegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat ini akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman.
.
Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan Allah سبحانه وتعالى
ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram,
maka hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar
dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh
melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.
.
Imam Abu Tahir al-Qazwini berkata: Setiap
orang yang biasa berjalan di titian agama, maka ia akan sangat mudah
melintasi sirat di akhirat. Dan sesiapa yang tidak biasa melaluinya,
maka ia akan menemui kesukaran berjalan di atasnya, kakinya akan
tergelincir dan ia akan menyesal selama-lamanya.
.
.
Tips Dan Pantang Larang Siratul Mustaqim
.
Rasulullah ﷺ pernah menyebut beberapa amalan yang dapat menjamin keselamatan seseorang melintas di atas titian sirat.
Antaranya adalah:
- Mentaati perintah Allah سبحانه وتعالى
- Melakukan solat fardhu 5 waktu
- Melazimkan diri hadir ke masjid
- Mengharmonikan masyarakat
- Banyakkan bersedekah
.
Sebaliknya, beberapa amalan buruk dapat
merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat. Amalan
itu ialah melakukan dosa-dosa besar termasuklah memaki hamun dan membuat tuduhan dusta kepada seorang Mukmin
.
Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa
yang menjaga seorang Mukmin daripada gangguan munafik, maka Allah akan
mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka
jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang Mukmin
untuk memburukkan namanya, maka Allah akan menghentikan langkahnya di
atas sirat hingga ia bersedia melepaskan tuduhan tersebut.”
.
.
Petikan daripada Kitab Mahkamah di Padang Mahsyar m / s: 146
.
.
والله أعلم بالصوابWallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
Kredit:shafiqolbu.wordpress.com
No comments:
Post a Comment